Isu Pembangunan : Wanita Kembali Bekerja


Dewasa ini, peranan wanita dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara tidak boleh disangkal lagi. 

Ramai wanita yang kini bekerjaya dan menyandang jawatan besar serta mempunyai kepakaran dalam satu-satu bidang. 

Namun, dalam usaha kerajaan memastikan penerusan penyerapan tenaga kerja dalam kalangan wanita, tidak dapat kita nafikan cabaran wanita terutama yang sudah berkahwin untuk mengimbangi tanggungjawab sebaiknya sebagai isteri, ibu dalam masa yang sama bekerja. 

Memikul tanggungjawab ini menuntut wanita untuk berkemampuan mengurus rumah tangga dengan baik dan menjadi penyumbang ekonomi keluarga. Malah situasi ini turut dihadapi dalam kalangan wanita yang belum berkahwin.

Situasi sedemikian menyebabkan ramai juga dalam kalangan wanita memilih untuk berhenti kerja agar dapat menumpukan fokus kepada keluarga dan membantu pengurusan kewangan keluarga dengan cara jimat dan bijak berbelanja. 

Malah ada yang hanya melakukan kerja sampingan secara kecil - kecilan berbanding bekerja tetap. Hal ini kerana pilihan tersebut memudahkan dan membolehkan mereka memiliki kehidupan yang lebih fleksibel dan tidak terikat bagi mengimbangi kehidupan berkeluarga.

Namun, hal ini agak membimbangkan kerana menyebabkan  kita kehilangan kepakaran, tenaga kerja dalam kalangan wanita serta menjurus kepada ketidak seimbangan antara gender.

Oleh demikian, kerajaan memandang serius isu ini dan telah memberi keutamaan kepada wanita dengan membuat pelbagai inisiatif, usaha untuk membuka jalan agar wanita kembali bekerja dengan risiko minima. 

Antara usaha yang dijalankan adalah dengan memberi lebih banyak kemudahan dan kelebihan kepada wanita bekerja.

Malah terdapat satu dasar khusus yang digubal iaitu Dasar Wanita Negara di bawah Jabatan Pembangunan Wanita.

Jika dilihat dari aspek pembangunan lazim, pastinya pengurangan bilangan wanita yang menyertai sektor pekerjaan memberi efek terutama dari aspek ekonomi sesebuah negara.

Namun, dari aspek pembangunan berteraskan Islam pula, pengurangan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan memberi kerugian dari aspek wanita sebagai pelaku pembangunan yang mana matlamatnya adalah mardhatillah dan kaedah pembangunan itu adalah ibadah kepada Allah SWT.