Penilaian terhadap isu wanita kembali bekerja berdasarkan pembangunan berteraskan Islam


Prinsip pembangunan berteraskan Islam - PBI mesti merangkumi sekurang-kurangnya tujuh perkara asas yakni ,

Pertama: Acuan Pembangunan 

(Tasawwur Islam),

Kedua: Pelaku pembangunan (manusia),

Ketiga: Skala waktu pembangunan,

Keempat: Kerangka pembangunan

Kelima:Perkaedahan pembangunan 

Keenam: Peralatan pembangunan, dan 

Ketujuh: Matlamat pembangunan.

 (Muhammad Syukri Salleh 2003)

Merujuk kepada isu wanita kembali bekerja prinsip kedua PBI iaitu manusia sebagai pelaku pembangunan adalah prinsip yang berkaitan dan memberi panduan agar isu ini dapat dikupas dengan lebih baik dari sudut pandang Islam dan secara ilmiah. 

Insan atau manusia adalah makhluk Allah SWT yang paling istimewa kerana diberikan akal serta boleh berfikir, berkehendak, dan boleh menerima dan mengembangkan ilmu pengetahuan yang mana keadaan inilah yang membezakan di antara manusia dengan haiwan. 

Dan dalam isu ini, wanita berperanan sebagai pelaku pembangunan.

Para wanita merupakan komuniti yang memainkan peranan besar di dalam masyarakat. Di dalam institusi kemasyarakatan, seorang wanita boleh berperanan sebagai seorang anak, kakak, isteri dan ibu. 

Manakala di sektor pekerjaan juga peranan wanita tidak kurang hebatnya. Wanita boleh berperanan sebagai pekerja atau majikan dan sebagai ketua atau sebagai teman sepasukan. Malah, peranan wanita juga memberi impak positif dan menghasilkan  kejayaan serta kecemerlangan di sesebuah organisasi. 

Profesion guru, doktor, jururawat, pensyarah, peguam, usahawan antara profesion yang sering diceburi oleh wanita. Malah di institusi kerajaan, turut disediakan kuota bagi dipenuhi oleh golongan wanita termasuk di bahagian kepimpinan. Merujuk kepada Dasar Wanita Negara penglibatan  wanita dalam sektor pekerjaan perlulah dirai dan dibantu agar jurang antara jantina dapat dikurangkan.

Hakikatnya, manusia yang difahami dalam pembangunan lazim adalah berbeza dengan manusia yang dimaksudkan dalam PBI. Manusia yang dimaksudkan di dalam PBI adalah manusia yang berfungsi sebagai hamba Allah dan khalifah Allah SWT berbeza dengan pembangunan lazim yang  mana manusia berfungsi sebagai manusia ekonomi (Muhammad Syukri Salleh 2003)

Tidak kira jantina lelaki atau wanita, peranan sebagai pelaku pembangunan ini boleh dijayakan bersama termasuk dalam sektor pekerjaan. 

Target seorang hamba dan khalifah Allah SWT adalah untuk mendapat redha Allah SWT , Mardhatillah. Dan salah satu cara bagi menggapai matlamat akhir dalam kehidupan Muslim iaitu redha Allah SWT adalah melalui usaha bekerja. 

Dalam Islam, hal - hal yang harus, jika niatnya itu kerana Allah SWT, maka peroleh pahala sebagai imbalan untuk perbuatan yang baik itu.

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar Ibnu Khattab RA berkata, kau mendengar Rasulullah SAW bersabda : 

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah.


Niat baik seorang wanita apabila bekerja sama ada ingin membantu suami, mengambil tanggungjawab menjaga adik-adik atau ibubapa yang telah uzur, berniat untuk berbakti kepada masyarakat menerusi kelebihan ilmu dan tenaga yang ada tetaplah perlu diikuti dengan tindakan yang baik dan benar.

Wanita yang keluar bekerja mestilah memastikan : 

- Pekerjaan yang dilakukan itu menepati syarak. Pekerjaan yang mulia dan terhindar dari hal-hal maksiat 

- Menjaga adab sebagai seorang wanita Muslimah contohnya dengan memastikan penampilan menutup aurat dan menjaga adab ketika bekerja dengan membatasi pergaulan antara lelaki dan wanita khusus untuk hal-hal urusan kerja. 

- Tidak mengabaikan tugas hakiki yang disandang seperti seorang tanggungjawab sebagai isteri dan seorang ibu. 


Seorang penyair Mesir, Hafiz Ibrahim bermadah, 

Ibu itu adalah sekolah,

 jikalau dia menyediakannya,

Dia menyediakan sebuah masyarakat yang baik asasnya.


Terdapat banyak bidang yang lebih cenderung dan memerlukan tenaga kerja dalam kalangan wanita. 

Bidang asuhan dan didikan contohnya, guru yang bertugas menjadi pengasuh dan guru tadika lebih sesuai dijalankan oleh wanita kerana profesion tersebut memerlukan ciri-ciri keperempuanan dan keibuan tanpa menidakkan keharusan lelaki untuk berada dibidang berkenaan.

Malah Islam juga menekankan Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, harta, dan maruah/ keturunan. Dalam bidang profesional misalnya, seperti perubatan, ianya adalah satu tuntutan dan fardhu kifayah bagi doktor dan jururawat wanita untuk berada di bidang ini apabila mereka diperlukan oleh masyarakat terutama dalam hal-hal berkaitan merawat pesakit wanita. 

Dan pastinya keupayaan doktor wanita untuk memenuhi kelompongan kekurangan doktor sedia ada di dalam negara adalah satu tindakan murni dan tugas mulia yang dituntut di dalam Islam.

Jika mengimbau sejarah Islam, sewaktu dalam peperangan, ada dalam golongan  wanita muslimah yang mengambil peranan merawat mujahid yang tercedera dan salah satunya adalah Saidatina Hafsah, isteri kepada Rasulullah SAW.  

Dalam proses pembangunan manusia tidak boleh terjerumus menjadi hamba pembangunan kerana pembangunan sebenarnya adalah untuk manusia , bukan manusia untuk pembangunan 

(Muhammad Syukri Salleh, 2013)

Dalam Islam juga, tiada halangan bagi wanita untuk memainkan peranan sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di alam pekerjaan selagi mana ianya terhindar dari fitnah, tidak mengabaikan tuntutan fardhu malah menjadi medium meraih redha Allah SWT yang mana ianya bertepatan dengan prinsip akhir PBI iaitu matlamat akhir pembangunan adalah mardhatillah iaitu keredhaan Allah SWT.

Usaha kerajaan bagi membantu wanita kembali bekerja adalah satu usaha baik yang wajar disokong. Pastinya apabila kebajikan terjaga, keperluan seorang wanita muslimah untuk bekerja diberikan  ianya membantu untuk wanita memainkan peranan sebagai hamba dan khalifah Allah SWT dengan baik  dan mencapai tujuan pekerjaan seorang Muslim iaitu Mardhatillah. 

Pastinya, inisiatif yang dibuat membantu seorang wanita itu menjadi anak, isteri, ibu bahkan hamba yang taat kepada Allah SWT.