Dasar Wanita Negara
Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita
MUKADIMAH
✓ Dasar Wanita Negara adalah kesinambungan kepada Dasar Wanita Negara yang digubal pada tahun 1989 dengan mengambil kira isu, peluang, cabaran dan persekitaran masa kini dan yang akan datang. Berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara, dasar ini mendukung cita-cita untuk mencapai kesaksamaan gender dan pembangunan negara yang seimbang dan lestari.
✓ Dasar Wanita Negara ini mendukung prinsip tiada diskriminasi berasaskan gender seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing (Beijing Platform for Action), Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) serta Deklarasi Putrajaya dan Program Tindakan Mengenai Pembangunan Wanita Dalam Negara Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM Putrajaya Declaration).
✓ Dasar ini berhasrat untuk merealisasikan aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai ketahanan diri dengan melahirkan wanita yang berilmu dan berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi serta menghayati nilai-nilai murni.
✓ Dasar ini bermaksud untuk memberi panduan dan hala tuju dalam usaha perancangan dan perlaksanaan pembangunan wanita atas kesedaran bahawa kaum wanita merupakan separuh daripada penduduk negara yang gigih menyumbang kepada pembangunan negara.
✓ Dasar ini dilengkapi dengan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) bagi memperincikan tindakan yang perlu diambil oleh agensi Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) , sektor swasta dan masyarakat sivil untuk mencapai objektif dan matlamat Dasar Wanita Negara. PTPW mengandungi strategi yang meliputi 13 sektor iaitu ekonomi, kemiskinan, undang-undang, keganasan terhadap Wanita, kesihatan, pendidikan dan latihan, sains dan teknologi, pembuat keputusan, mekanisme, jentera dan institut pembangunan Wanita, media, alam sekitar, suka, dan kebudayaan,kesenian dan warisan.
STRATEGI PERLAKSANAAN
Strategi yang telah digariskan bagi melaksanakan dasar ini ialah:
Mengarusperdanakan perspektif gender dalam penggubalan dasar dan perundangan, perancangan, perlaksanaan dan penilaian program, projek dan penyediaan bajet untuk pembangunan.
Meningkatkan komitmen di kalangan badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman, termasuk penggubal dasar, pembuat keputusan dan pihak penguat kuasa di sektor awam dan swasta serta masyarakat sivil, bagi menghormati dan memelihara martabat wanita.
Mengkaji semula undang-undang dan peraturan sedia ada dan menggubal perundangan dan perturan baru bagi menjamin tiada diskriminasi berasaskan gender, Perlindungan, keselamatan, hak-hak dan maruah wanita terpelihara dan mengambil langkah-langkah supaya penguatkuasaan undang-undang berkenaan berkesan.
Menjalankan penyelidikan mengenai aspek gender bagi menjana pendekatan inovatif dan kreatif dalam penggubalan dasar dan perancangan serta perlaksanaan program.
Melaksanakan sepenuhnya pengumpulan, penganalisaan dan pengaplikasian data dan maklumat oleh agensi-agensi Kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan mengikut pecahan jantina untuk tujuan perancangan, perlaksanaan, pemantauan dan penilaian program.
Meningkatkan kapasiti dan keupayaan wanita dalam semua bidang bagi memastikan penglibatan mereka yang berkesan dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara, termasuk penglibatan dalam politik dan proses membuat keputusan.
Memperkukuhkan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi wanita melalui kerjasama dan sinergi antara agensi Kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan di peringkat nasional dan antarbangsa, dan juga menambahkan serta mempelbagaikan peluang serta menggerakkan sumber, maklumat dan kepakaran di kalangan wanita.
PENUTUP
Dasar Wanita Negara merupakan dasar pembangunan sosio-ekonomi yang merangkumi falsafah, inspirasi dan aspirasi wanita daripada pelbagai peringkat, umur, lapisan masyarakat dan semua sektor.
Perlaksanaan dasar ini menjadi agenda utama Kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang maju, dinamik dan berdaya saing serta penyayang, adil dan saksama.
Bagaimana dasar ini dapat menyelesaikan Isu Wanita Kembali Bekerja?
Ramai wanita kini memilih untuk tidak bekerja meskipun berkelayakan kerana faktor utama mereka adalah kekangan yang dihadapi. Antara halangan tersebut adalah mengimbangi kehidupan kerjaya dan keluarga. Kos penjagaan anak yang tinggi juga membuatkan para ibu gemar memilih untuk mengasuh dan mendidik anak sendiri berbanding menghantar ke pusat asuhan. Malah, masih banyak pusat asuhan yg tidak memiliki tenaga kerja yang berkualiti sehingga menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku di taska.
Ada juga sebahagian kecil atas faktor diskriminasi ke atas wanita dalam sektor tertentu kerana bidang tersebut dimonopoli oleh kaum Adam berbanding Hawa. Malah gangguan seksual juga ada berlaku di tempat kerja.
Apabila meneliti Dasar Wanita Negara, kita meyakini bahawa dasar ini sangat membantu kemelut yang dihadapi oleh wanita sebagai pelaku pembangunan. Pengkhususan dan penumpuan Dasar Wanita Negara memberi jalan untuk memberdaya wanita. Malah pelaksanaan dasar ini menjadi agenda utama dalam negara saban tahun.
